Pages

Thursday 20 December 2012

PERKONGSIAN IDEA PEMBINAAN NEGARA BANGSA


1.0              PENGENALAN

Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta penduduknya. Merujuk kepada Malaysia, proses awal pembinaan negara bangsa lebih tertumpu pada keperluan politik. Sejak pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kerajaan memberi keutamaan kepada proses membina Malaysia sebagai sebuah negara moden yang berdaya saing dari segi ekonomi dan politik. Kerajaan meletakkan prinsip asas membina Malaysia yang bersatu padu dan harmoni menerusi rakyat berbilang kaum, bersama dengan aman damai dan makmur berdasarkan Prinsip Asimilasi (1957-1969) dan Prinsip Nasional (1970-kini).
Malaysia lahir atas kefahaman dan persetujuan kalangan parti-parti politik bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bersatu. Hasrat murni ini hanya dapat dicapai dengan penerimaan keutamaan identiti Melayu oleh semua masyarakat bumiputera mahupun bukan bumiputera berlandaskan ciri-ciri jati diri kebangsaan dalam proses membina negara bangsa di Malaysia. Usaha-usaha secara intensif bagi mencapai matlamat sebuah negara bangsa mula dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Matlamat yang lebih jelas pula hanya muncul ekoran pengenalan Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1991. Wawasan yang menekankan terhadap keperluan wujudnya bangsa Malaysia yang mantap mula diberikan perhatian yang lebih serius oleh pelbagai pihak. Pembinaan negara bangsa Malaysia berdasarkan acuan sendiri harus dilaksanakan melalui pelbagai saluran. Salah satu saluran terpenting yang dijadikan mekanisme bagi pencapaian matlamat tersebut ialah pendidikan khususnya pendidikan sejarah yang merupakan teras penting dalam dasar pendidikan . Ia juga merupakan satu keperluan dalam proses pemantapan kewarganegaraan bagi membolehkan sesebuah sejarah bukan sahaja dihargai dan dihayati malah elemen lain ialah sebagai suatu pengajaran, pedoman ataupun proses perencanaan. Melalui sejarah, pengalaman masa lampau merupakan satu rujukan terbaik bagi generasi masa kini dan akan datang membentuk sebuah negara bangsa.

Definisi Negara, Bangsa dan Negara Bangsa

       Negara
            Negara secara formalnya sebuah organisasi yang mempunyai sempadan geografi, ada kerajaan yang memerintah, sistem pentadbiran undang-undang, kewangan dan lain-lain yang berkaitan. Pemerintah mengatur dan mentadbir rakyat atau masyarakat dalam negara dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Negara adalah tentang struktur dan organisasi bukan tentang nilai-nilai atau ideologi rakyat atau masyarakat dalam negara itu. Konsep negara menurut undang-undang antarabangsa ialah sesuatu masyarakat politik atau negeri yang mempunyai ciri-ciri seperti sempadan yang tertentu, penduduk, sebuah kerajaan yang teratur dan kedaulatan.

Bangsa
            Bangsa pula adalah satu konsep bersifat budaya. Definisi bangsa merujuk kepada satu komuniti atau masyarakat yang mempunyai nilai-nilai dan norma-norma yang sama, mempunyai pengalaman dan sejarah yang sama termasuk matlamat dan impian yang sama serta identiti dan karakter yang tidak jauh berbeza.
Abdul Rahman Embong (2006) dalam bukunya Negara-Bangsa : Proses dan Perbahasan, mendefinisikan bangsa sebagai satu komuniti politik yang terbentuk dalam sejarah yang ditautkan melalui perkongsian wilayah, budaya, bahasa serta perasaan sebangsa.
Negara-negara yang mempunyai penduduk homogeneous seperti Jepun yang mempunyai bahasa, agama, nilai-nilai, karakter yang sama dan asal usul keturunan yang sama, soal isu negara bangsa tidak timbul. Begitu juga dengan bangsa German (Aryan), Cina, Arab, Itali yang dianggap mempunyai identiti tersendiri.

Negara Bangsa
            Negara bangsa merujuk kepada kedaulatan negara dengan rakyat yang hidup dalam harmoni walaupun mereka terpisah dari segi bangsa, kepercayaan, agama, bahasa, budaya dan lain-lain. Untuk mencapai konsep negara bangsa, kesetiaan kepada negara, harmoni dan toleransi perlu dijadikan sebahagian kehidupan harian warganegaranya.


Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, negara bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Pembentukan negara bangsa dianggap penting dan menjadi para-syarat kepada pemodenan negara. Ini disebabkan sekiranya warganegara tidak mempunyai matlamat yang sama ke arah mencapai negara bangsa, tiada yang berguna dapat dilakukan.

 Persoalan Tentang Negara Bangsa

 Konsep Negara Bangsa
            Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara.
Hasrat untuk membentuk sebuah negara bangsa dalam konteks  Malaysia boleh dihuraikan seperti kenyataan oleh Tun Dr. Mahathir b. Mohamed, Melangkah Ke Hadapan pada 1991, iaitu membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.
Menurut YAB Dato’Seri Abdullah Ahmad Badawi (Dewan Budaya USM, 1999) pula, kita mempunyai tanggung jawab yang besar dalam pembangunan bangsa dan negara ini. Kita juga mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan minda dan jiwa rakyat untuk membawa kita ke arah wawasan yang ingin kita capai.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pemimpin namun unsur-unsur penghalang yang kebanyakannya berakar umbikan sentimen perkauman masih mengepompongi sebahagian rakyat negara ini termasuklah pemimpin-pemimpin politik yang sepatutnya berperanan sebagai role model bagi mencapai matlamat tersebut. 1 Malaysia umpamanya, merupakan agenda terbaru pemerintah di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak untuk membentuk sebuah negara yang dikongsi bersama atau dianggap sepunya bagi seluruh rakyat negara ini.

Persoalannya, apakah matlamat tersebut mampu dicapai? Atau mungkinkah ia hanya mengulangi dasar-dasar atau program-program terdahulu yang tersimpan di kotak sejarah negara sebagai retorik? Mengapakah Malaysia yang menjangkau usia kemerdekaan ke-55 masih tercari-cari identiti untuk membentuk negara dan bangsanya sendiri? Pelbagai alasan dikemukakan dari aneka sudut pandangan dan keilmuan bagi mewajarkan kegagalan tersebut.
Memetik pandangan Abdul Rahman Embong, Negara-Bangsa : Proses dan Perbahasan, “Ditinjau dari segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baru bagi rakyat berbilang kaum di negara ini. Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos 1957, yang dilahirkan ialah sebuah negara, bukan bangsa. Begitu juga apabila Malaysia terbentuk pada1963, yang kita miliki hanyalah negara Malaysia, sedangkan bangsa Malaysia yang utuh dan bersatu padu masih jauh daripada terwujud”.
Berbeza dengan Singapura, suatu ketika dahulu, selepas Singapura mencapai kemerdekaan (dari Malaya) urusan kebudayaan dan keagamaan disekat. Sekolah-sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubar untuk mengurangkan semangat “kecinaan”   dan “keindiaan”. Atas iltizam dan visi Lee Kuan Yew, Singapura telah berjaya menjadi sebuah negara-bangsa. Walaupun pada awalnya wujud sedikit kekangan kebebasan berbudaya dan beragama, Singapura kini terus bergerak ke hadapan. Lee Kuan Yew telah berjaya menyatukan kebudayaan Siangapura. Lee Kuan Yew dilihat berjaya mengasimilasikan masyarakat Singapura. Kita boleh mengambil contoh Singapura sebagai contoh negara-bangsa yang maju dan berjaya.

Perkembangan Sosiopolitik Di Malaysia Ke Arah Pembentukan Negara Bangsa
Berbalik kepada Malaysia, apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia lebih separuh abad ini menjadikan kita saling faham memahami antara satu sama lain? Apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia sekarang ini mampu menjadi titik tolak kepada cita-cita pembinaan negara bangsa Malaysia? Apakah rupa identiti rakyat Malaysia yang sebenarnya? Apakah semua bangsa harus menjadi Melayu atau memeluk Islam untuk mempunyai identiti yang sama iaitu bangsa Malaysia atau rakyat berbilang kaum dan agama mempunyai satu bahasa kebangsaan yang ditutur semua rakyatnya selaras dengan dasar bahasa kebangsaan, sekolah-sekolah menggunakan satu bahasa pengantar, dan rakyat mempunyai matlamat dan impian yang sama setelah hidup dalam sebuah negara yang dikongsi bersama sepanjang hidup mereka?                                      

Dari aspek sejarah, bila kita kembali kepada perjuangan pemimpin terdahulu konsep 1 Malaysia
yang dianjurkan oleh Dato’ Seri Najib sebenarnya hanya merangkumi usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Dato’ Onn Jaafar dan lima orang Perdana Menteri yang terdahulu. Ianya bukan usaha yang tergesa-gesa dan berbau politik seperti gagasan Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh parti DAP.
Pada zaman Dato’ Onn Jaafar, beliau menekankan perlunya memelihara ketuanan Melayu dengan menentang Malayan Union. Ini membolehkan Melayu mengembalikan kuasa dan hak orang Melayu sebagai rakyat asli di Tanah Melayu. Pada peringkat awal ianya tidak berniat menafikan hak kaum-kaum lain tetapi memperkukuhkan hak Melayu terhadap tanah airnya.
Ketika zaman Tunku Abdul Rahman pula, Tunku memperkukuhkan kedudukan Melayu dengan menjamin hak-hak istimewa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu tetapi dalam masa yang sama menerima kewujudan masyarakat berbilang kaum terutama kaum Cina dan India. Tunku tidak ada pilihan pada ketika itu kerana menjadi syarat penjajah Inggeris yang hanya akan memberi kemerdekaan setelah mendapat kerjasama dari semua kaum yang ada di Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, Tunku gagal memperbaiki polarisasi kaum sehingga membawa kepada peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah ini menyukarkan lagi usaha Tun Razak mewujudkan identiti bangsa Malaysia. Namun, dalam tempoh lima setengah tahun Tun Razak berusaha mewujudkan economic equity iaitu merapatkan jurang kekayaan sebagai pra syarat kepada keharmonian antara kaum.
Tun Razak percaya bahawa dalam jangka panjang negara tidak akan aman jika kekayaan ekonomi tidak dinikmati secara adil oleh kaum-kaum yang ada. Maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk menghapus pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi di samping matlamat pokok membasmi kemiskinan. Apabila kemiskinan dan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi berjaya dihapuskan seperti disasarkan dalam DEB maka tidak ada lagi tanggapan bahawa yang miskin itu Melayu dan bumiputera, yang kaya itu kaum Cina. Matlamat akhirnya untuk mencapai kesetaraan ekonomi dengan matlamat ekuiti ekonomi Melayu pada kadar 30%  menjelang 1990. Semua dasar dan usaha Tun Razak ini pada hakikatnya begitu ikhlas untuk mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia  yang dapat hidup dengan harmoni dan makmur apabila kekayaan dapat diagihkan secara adil.

Tun Hussein Onn pula memberi penekanan kepada membina sebuah masyarakat Malaysia yang bermoral tinggi sebagai asas sebuah masyarakat Malaysia yang bertamadun. Tun Hussein memberatkan pentingnya keluhuran undang-undang negara dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa juga untuk memelihara moral dan etika rakyat Malaysia. Tindakan ke atas Dato Harun Idris yang pada masa itu Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah bukti kesungguhan Tun Hussein Onn. Dalam satu ucapan perasmian pada Julai 1976, Tun Hussein menegaskan, “Dalam memimpin sebuah negara berbilang kaum, prinsip dalam setiap keputusan mestilah mengutamakan kepentingan nasional bukan memenuhi tuntutan satu kaum saja kerana jika kepentingan nasional diketepikan, sebagai contoh mengabaikan peraturan undang-undang, ini bukan sahaja menyalahgunakan kepercayaan rakyat tetapi juga akan membuka ruang kepada satu keadaan iaitu rakyat akan bangkit menentang kita”.
Zaman Tun Dr. Mahathir pula membuat dasar menjangkaui sempadan Malaysia. Wawasan yang diperkenalkannya iaitu Wawasan 2020 telah mencetuskan kepentingan pembinaan bangsa Malaysia. Cabaran pertama yang ditonjolkan dalam gagasan tersebut dengan jelas meletakkan matlamat mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan. Tun Mahathir ingin identiti rakyat Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai bangsa yang berjaya, boleh menakluki Everest, Kutub Utara, merentasi Lautan Pasifik dan sebagainya sebagai  satu simbolik kemampuan bangsa Malaysia. Pemodenan Malaysia yang dipelopori oleh Tun Mahathir bukan sahaja cemerlang dalam negara tetapi rakyat Malaysia mampu bersaing di peringkat global.
Melampaui abad ke-21, matlamat tersebut masih disuarakan oleh pemimpin selepasnya. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menekankan kepentingan perkongsian sebuah negara dan menekankan semangat kecintaan kepada negara. Dalam ucapannya sempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-50 pada 31 Ogos 2007, beliau mengatakan “Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha bersama. Negara Malaysia akan terus dibangunkan secara bersama dalam semangat yang tidak membenarkan berlakunya tafsiran sempit dari segi identiti warga, tidak membenarkan berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku ketidakadilan dalam kalangan warga dan tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan terhadap jaminan masa hadapan mana-mana warga. Bumi dan langit Malaysia adalah tempat bertapak, tempat berteduh setiap warga Malaysia. Bumi dan langit Malaysia menjanjikan tapak kukuh dan langit cerah untuk setiap warga dapat hidup bersatu penuh muafakat”.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula dalam perutusan Hari Kebangsaan negara ke-52 (2009), menekankan kepada usaha merapatkan hubungan rakyat berbilang kaum di Malaysia dengan meruntuhkan tembok pemisah yang masih wujud. Menurut beliau, “ lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan”. Justeru beliau telah memperkenalkan gagasan 1 Malaysia. Malangnya ramai yang keliru dengan konsep negara bangsa yang cuba dibawakan dengan mengatakan konsep 1 Malaysia akan menghilangkan hak-hak istimewa bangsa Melayu. Konsep 1 Malaysia adalah tentang ciri-ciri atau budaya bangsa Malaysia.
   Kekangan Pembentukan Negara Bangsa
            Kebanyakan kita mungkin bersetuju bahawa pembinaan sebuah negara bangsa di Malaysia adalah sebuah jalan berliku yang memerlukan keikhlasan dan penerimaan semua pihak. Beberapa faktor yang menjadi kekangan pembentukan negara bangsa :

  Faktor Masyarakat Majmuk
            Sejak   zaman Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu merupakan tumpuan kepada masyarakat berbilang bangsa disebabkan oleh Melaka adalah pusat urus niaga yang terbesar di rantau Asia Tenggara. Kewujudan masyarakat berbilang bangsa tersebut amat berbeza daripada masyarakat berbilang bangsa yang wujud akibat penjajahan British di Tanah Melayu pada abad ke-19. Perbezaan antara kedua-dua masyarakat berbilang bangsa tersebut ialah kesanggupan masyarakat berbilang kaum pada zaman Melaka untuk menerima budaya masyarakat Melayu seperti bahasa, makanan, etika dan pakaian. Sebaliknya masyarakat imigran pada zaman British tidak berpeluang ataupun berkeinginan mengenali sosiobudaya masyarakat Melayu. Ada juga dalam kalangan masyarakat imigran yang memandang rendah kedudukan dan sosiobudaya masyarakat Melayu. Malahan mereka menganggap masyarakat Melayu tidak mempunyai perkaitan dengan mereka. Oleh itu, masyarakat berbilang bangsa atau masyarakat majmuk pada zaman penjajahan merupakan punca wujudnya beberapa aspek sosiobudaya negatif yang menghalang usaha-usaha membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, harmoni dan aman pada hari ini.

 Faktor Berbilang Agama
            Setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu contohnya Melayu beragama Islam, Cina beragama Buddha, India beragama Hindu. Iban dan Kadazan beragama Kristian. Adalah jelas ketiga-tiga kaum utama di Malaysia mempunyai adat resam, bahasa, agama dan falsafah hidup yang berbeza. Masing-masing menganggap kebudayaan dan agama mereka adalah yang terbaik. Walaupun berlaku perkahwinan campur antara kaum tetapi ia terhad kerana wujud halangan yang kuat dari segi agama. Perbezaan dan pengasingan agama, budaya dan cara hidup ini bukan sahaja menguatkan lagi sikap prasangka buruk antara masyarakat malah menghalang proses integrasi sosial antara kaum.
Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasikan dengan baik. Mereka boleh terdiri daripada beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam, Jawa Kristian dan Jawa Buddha.

 Faktor Ekonomi
            Secara amnya, British telah menetapkan bidang-bidang kegiatan ekonomi penduduk di Tanah Melayu mengikut keperluan ekonomi British. Oleh itu, orang Melayu, Cina dan India dibiar menjalankan aktiviti ekonomi yang berlainan. Kebanyakan orang Melayu yang bermastautin di luar bandar merupakan petani, pekebun kecil, penoreh getah atau nelayan. Mereka merupakan komuniti ekonomi yang kurang dapat perhatian untuk terlibat secara langsung dalam rancangan pembangunan teknologi atau kemasyarakatan oleh British. Sebaliknya, orang Cina yang tinggal di kawasan bandar terlibat secara langsung dalam sektor perniagaan, perlombongan, pembinaan dan kewangan manakala sebilangan besar masyarakat India menjadi buruh di ladang-ladang getah dan buruh kasar Kereta api Tanah Melayu dan Pejabat Kerja Raya.
Pengasingan kegiatan ekonomi antara kaum ini bererti mereka masing-masing kurang berpeluang berinteraksi dari aspek sosiobudaya mahupun aspek ekonomi. Tambahan pula, pengasingan kegiatan ekonomi ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang tidak seimbang di antara kaum. Apabila wujud jurang ekonomi yang nyata maka akan wujud tanggapan negatif yang bakal mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum. Ianya merupakan satu lagi faktor sejarah yang menyebabkan timbul ketidakpuasan hati antara kaum terutamanya masyarakat Melayu iaitu tuan punya Tanah Melayu dengan masyarakat Cina sebagai imigran. Tidak dapat dinafikan suasana sosioekonomi ini telah mengancam proses pembinaan negara bangsa Malaysia.

 Dasar Pecah Dan Perintah
            Selain daripada itu, kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum dan suku turut menjadi duri dalam daging kepada pembentukan negara bangsa. Parti-parti politik berasaskan kaum ini tidak lain tidak bukan sebagai penerus legasi penjajah British dengan konsep devide and rule (pecah dan perintah) mereka.
Dasar British tidak mengambil langkah-langkah yang menggalakkan bagi mewujudkan kerjasama, toleransi atau interaksi antara kaum di Tanah Melayu. Pengimportan buruh dari Cina, India dan Sri Lanka secara beramai-ramai adalah untuk kepentingan ekonomi British. Walaupun wujud segregasi kaum secara sukarela dan bukannya sesuatu yang dirancang dengan sengaja bagi tujuan dasar pecah dan perintah semata-mata, British membiarkan keadaan itu terus berlaku. Dasar British tidak langsung mengambil kira masa depan Tanah Melayu yang bergantung kepada aspek perpaduan negara sebagai asas kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 yang kemudian dimantapkan lagi dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menyaksikan penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak gagal merealisasikan konsep “Satu Negara Satu Bangsa”. Ia jelas apabila kita masih dihantui pelbagai permasalahan yang bersifat perkauman walaupun setelah negara mencapai kemerdekaan yang ke-54 tahun. Masyarakat masih terikat dengan identiti kaum masing-masing dan tidak wujud sebarang usaha yang proaktif ke arah mewujudkan satu kesamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Lantaran itu, isu nagara dan bangsa masih menjadi wadah yang kerap dibahaskan oleh ahli politik dan golongan akademik.
Isu negara dan bangsa Malaysia kerap dilihat dengan penuh prejudis dimana wujud tanggapan bahawa ia merupakan kesinambungan daripada aspirasi perjuangan Parti PETIR (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ dan menuntut persamaan hak politik, ekonomi serta sosial bagi semua tanpa mengira kaum. Dasar yang jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan menimbulkan ketegangan antara kaum itu kemudiannya diteruskan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) selepas penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun 1965. Oleh yang demikian, konsep negara bangsa Malaysia dianggap sebagai satu muslihat yang bertujuan merampas hak dan keistimewaan orang Melayu dan mencabuli Perlembagaan Malaysia yang telah dipersetujui semua pihak semasa menuntut kemerdekaan. Mengambil petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, 17 Oktober 2008, Perkara yang termaktub dalam fasa 153 yang menyentuh kedudukan serta kebesaran Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam serta peranan Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan perlu dihormati. Ianya penting bagi memastikan asas pembentukan negara terpelihara dan tidak menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan rakyat. Mengulas pembentukan Gagasan Bangsa Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia yakin usaha ke arah itu mampu menjadi kenyataan sekiranya rakyat bersedia mengubah persepsi dan minda mereka. (Berita Harian. 26 Mei 2008). Ia bakal menjadi kenyataan kalau semua rakyat mengenepikan soal warna kulit, agama, keturunan dan budaya sebaliknya menekankan pentingnya kerjasama serta perpaduan demi kemajuan serta kestabilan bersama

 Sistem Pendidikan Yang Berasingan
            Sehingga Penyata Razak 1956 dibentangkan tidak terdapat satu bentuk sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu. Wujudnya corak pendidikan vernakular yang menekankan kepada empat aliran pendidikan yang berbeza iaitu aliran Inggeris, Melayu, Cina dan India. Sekolah Melayu hanya tertumpu kepada pendidikan agama di sekolah pondok dan pendidikan sekolah rendah yang membolehkan orang Melayu tahu membaca, menulis dan mengira sahaja.
Bagi orang Cina pula, sekolah-sekolah didirikan sendiri oleh masyarakat Cina. Sekolah yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah itu menggunakan kurikulum, buku teks dan guru-guru yang diimport dari  Negeri Cina. Bagi kaum India, sekolah-sekolah Tamil didirikan di estet-estet berasaskan kurikulum dan buku teks yang diimport dari India Selatan. Selain daripada itu, terdapat juga sekolah aliran Inggeris yang didirikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian dan British. Sekolah-sekolah ini didirikan di bandar-bandar dan mendapat sambutan yang baik daripada kalangan penduduk bandar sama ada Melayu, Cina atau India. Bagaimanapun, sekolah aliran Inggeris ini tidak mendapat sambutan masyarakat Melayu luar bandar kerana bimbang anak-anak mereka dipengaruhi agama Kristian. Sistem pendidikan ketika itu tidak menitikberatkan perpaduan sosiobudaya dalam kalangan penduduk yang berbilang bangsa.
Walaupun terdapat usaha-usaha untuk mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan dan menghapuskan sekolah-sekolah vernakular seperti Laporan Barnes 1951 dan Laporan Razak 1956, ianya mendapat tentang yang hebat daripada masyarakat Cina khasnya yang menganggap Laporan Razak ini mengandungi dasar-dasar pendidikan yang bersifat ‘revolusioner’ walaupun hakikatnya matlamat utama adalah untuk memupuk perpaduan dan integrasi nasional seterusnya menyatupadukan penduduk pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia. Natijahnya, sehingga kini masih wujud sekolah-sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis kebangsaan Cina (SJK(C), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJK(T), sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah Cina persendirian. Keadaan ini berlanjutan sebagai warisan sejarah yang amat bahaya ibarat ‘api dalam sekam’. Sekolah dan pendidikan yang sepatutnya menjadi medium utama pembentukan negara bangsa masih gagal untuk disatukan kerana wujud kepentingan, prasangka dan tiada unsur penerimaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang terus mengekang pembentukan negara bangsa yang berjaya.

 Empat Komponen Negara Bangsa
            Bagi memastikan kejayaan membentuk sebuah negara bangsa, empat komponen yang harus ada adalah negara, bangsa, kerajaan dan perlembagaan.

 Negara
            Istilah negara merujuk kepada unit politik yang mempunyai kedaulatan, akauntabiliti dan kuasa untuk melaksanakan pemerintahan. Negara berfungsi sebagai  perantaraan antara pemerintah dan rakyat. Setiap tindakan dan aktiviti yang dijalankan negara tertakluk kepada undang-undang dan peraturan undang-undang yang sah. Mengikut Harold J.A Laski (1984) dan Robert A. Dhal (1983), konsep negara merujuk kepada satu unit politik yang terdiri daripada penduduk yang tinggal dalam sesebuah daerah atau wilayah yang mempunyai tanda sempadan yang jelas. Penduduknya diperintah oleh sebuah kerajaan yang berdaulat dan mempunyai kuasa untuk membuat dan melaksanakan undang-undang yang mesti dipatuhi oleh penduduknya.

   Bangsa
            Bangsa merupakan sekumpulan manusia yang mempunyai beberapa persamaan dari segi ciri-ciri biologi. Ciri-ciri seperti warna kulit, tekstur rambut dan bentuk muka telah digunakan untuk mengelaskan manusia kepada bangsa. Dalam sesebuah negara bangsa, setiap warga adalah tertakluk kepada sistem perundangan yang sama, mempunyai persamaan dari segi bahasa, adat resam, kesenian dan pengalaman sejarah.

  Kerajaan
            Kerajaan adalah institusi pemerintah yang bertanggungjawab menggubal dan melaksana dasar sesebuah negara. Ia merangkumi semua badan yang membuat, mentafsir dan melaksanakan dasar tersebut. Sebuah kerajaan bertindak sebagai pengaman dan penentu arah kehidupan masyarakat yang ada di bawah pemerintahannya. Dalam konteks negara kita Malaysia, kerajaan merujuk kepada tiga badan utama iaitu badan perundangan, badan eksekutif (pelaksana) dan badan kehakiman.

 Perlembagaan
            Perlembagaan merupakan peraturan tertinggi negara sama ada bertulis atau tidak bertulis yang menjadi rujukan dan panduan bagi mentadbir dan memerintah sesebuah negara. Di Malaysia, perlembagaan merupakan peraturan bertulis tertinggi yang didokumenkan dan dijadikan rujukan untuk mentadbir negara. Ianya bertujuan memberi jaminan perlindungan kepada rakyat negara ini.

 Kepentingan Merealisasikan Cita-Cita Negara Bangsa Untuk Malaysia

            Merealisasikan cita-cita negara bangsa adalah demi survival Malaysia untuk masa yang panjang. Tanpa usaha serius kerajaan dan rakyat Malaysia merealisasikan cita-cita negara bangsa ini, dikhuatiri bakal mengundang masalah besar kepada negara. Kita perlu segera keluar dari belenggu perkauman sempit yang telah lama diprogramkan. Persaingan tidak sihat antara kaum akan sentiasa berlaku. Sekiranya tidak dibendung, ia akan menjadi lebih berbahaya ibarat bom jangka yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja. Anak-anak akan dihantui dengan prasangka-prasangka negatif dan berbaur kebencian. Isu perkauman hanya akan membawa masalah besar untuk kita dan generasi akan datang. Justeru, persoalan hak berbudaya, beragama, berekonomi tidak seharusnya timbul jika usaha keras mengintegrasikan kaum ini disertai dengan mengamalkan sikap saling menerima. Berikut adalah beberapa isu yang perlu dipertimbangkan dalam konteks penerimaan oleh masyarakat Malaysia bagi memacu usaha ke arah pembentukan negara bangsa.


Definisi Penerimaan
            Memetik kata-kata Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam Blog 1 Malaysia, penerimaan merujuk kepada kesediaan atau penerimaan atau mengambil sesuatu yang diserahkan kepada kita. Dalam konteks negara kita, penerimaan merujuk kepada kesediaan kita menerima hakikat bahawa negara kita Malaysia mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh sebab itu, setiap kaum yang mendiami dan menjadi warganegara Malaysia ini hendaklah bersedia menerima dan mengiktiraf kewujudan kaum-kaum lain, kebudayaan dan kepercayaan yang diamalkan mereka. Apabila kita menerimanya, bererti  sedikit sebanyak kita mempunyai pengetahuan tentang kejadian yang membawa kepada kewujudan negara ini dengan penduduknya yang pelbagai kaum. Ini bermaksud kita bersedia menerima hakikat itu dan tidak akan mempersoalkannya apatah lagi mengungkit-ungkitnya di kemudian hari. Penerimaan ini mestilah sepenuh hati tanpa rasa curiga dan prasangka yang masih bersarang di lubuk hati kita kerana jika rasa curiga dan prasangka ini berterusan, lambat-laun negara kita akan terdedah kepada kekacauan dan perselisihan yang boleh membawa kepada pergaduhan kaum dan boleh menjerumuskan negara kepada satu keadaan yang bahaya.

Apa Yang Hendak Diterima?
            Setelah mengetahui maksud penerimaan yang sebenarnya, kita juga harus mengetahui apakah yang mesti diterima oleh kita sebagai rakyat Malaysia? Ada beberapa perkara penting yang perlu kita terima sebagai penduduk di negara ini. Perkara-perkara yang hendak kita terima itu adalah :
* Penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina dan India adalah tiga kaum terbesar;
* Penduduk Melayu adalah kaum yang terbesar dan membentuk separuh daripada penduduk negara ini dan merupakan penduduk asal yang mendiami negara ini iaitu sejak wujudnya Kesultanan Melayu Melaka;
* Semua penduduk di negara ini adalah tertakluk kepada perlembagaan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dan agama-agama lain sama sekali tidak dihalang untuk diamalkan di negara ini;
 * Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara dan Raja Berperlembagaan terus dipelihara sementara Perdana Menteri adalah pemimpin negara dan kerajaan yang dilantik menerusi sistem demokrasi berparlimen;
* Rukun Negara adalah rukun hidup yang mesti dijunjung dan diamalkan dalam kehidupan kita berdasarkan lima prinsip utama yang telah ditetapkan; dan
* Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan negara ini.

Keenam-enam perkara di atas adalah perkara pokok yang perlu diterima oleh kita semua tanpa mengira warna kulit. Penerimaan terhadap keenam-enam perkara di atas hendaklah secara total dan bulat serta tidak perlu dipertikaikan lagi.  Kita perlu belajar dari sejarah akibat daripada tidak bersikap menerima boleh mengakibatkan terjadinya peristiwa hitam seperti yang tersimpan dalam lipatan sejarah negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969.
Semua kaum yang ada di Malaysia harus menerima hakikat dan bersikap saling menghormati terhadap pelbagai kepercayaan dan kebudayaan yang diamalkan oleh rakyat negara ini. Kita juga tidak boleh menafikan bahawa kaum Cina dan India dahulu dibawa masuk oleh penjajah British tetapi generasi Cina dan India yang ada pada hari ini adalah generasi yang lahir dan membesar sepenuhnya di negara ini. Walaupun asal usul keturunan mereka tidak berasal dari negara ini, mereka telah menerima negara ini sebagai tanah air mereka. Mereka telah berikrar menumpahkan taat setia kepada raja dan negara ini.
       
Ketiga-tiga kaum utama yang mendominasi penduduk negara ini perlu saling menerima sesama mereka dan perlu bersikap jujur. Mereka hendaklah berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menghakis keikhlasan dan kejujuran masing-masing. Tindak tanduk yang boleh menggugat kepercayaan dan penerimaan tersebut hendaklah dielakkan. Dengan itu, barulah semua kaum dapat hidup dengan penuh harmoni dan matlamat pembinaan negara bangsa dapat dicapai.

Bagaimana Bersikap Menerima ?
            Bagi membuktikan sikap menerima, setiap individu yang mendiami bumi yang makmur dan bertuah ini hendaklah menunjukkan dan mengamalkan beberapa sikap yang positif yang akan membawa kepada menerima hakikat penerimaan tersebut. Jika tidak, kita hanya bersikap menerima setakat di bibir mulut sahaja tetapi dari segi tindakan tidak menunjukkan sikap penerimaan yang sebenarnya. Berikut adalah beberapa sikap yang boleh membuktikan sikap penerimaan sebagai sebuah bangsa Malaysia :

*Berbangga Menjadi Seorang Rakyat Malaysia
            Setiap daripada kita hendaklah berbangga menjadi rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit, bahasa dan kepercayaan. Semua rakyat perlu mempertahankan nama baik negara dan berusaha untuk mengharumkan nama negara. Dengan memiliki sikap berbangga sebagai rakyat Malaysia, kita akan sentiasa berusaha mengekalkan hubungan kita dengan rakyat Malaysia yang lain, walaupun berlainan kaum, kebudayaan dan kepercayaan. Pendek kata, sikap ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ perlu diamalkan dan dijiwai sepenuhnya.

*Bersifat Setia Dan Sayang Akan Negara
            Setiap daripada kita haruslah mempunyai sifat setia dan sayang akan negara dengan menghormati  dan menunjukkan taat setia kepada raja dan para pemimpin negara. Selain itu, kita juga mesti sayang dan hormat kepada lambang-lambang negara kita seperti Jalur Gemilang, Lagu Negaraku, Parlimen, Rukun Negara dan institusi lain yang berkaitan. Elakkkan sikap yang boleh menghina, menjejaskan dan menimbulkan provokatif terhadap lambang-lambang negara kita kerana ini akan memperlihatkan sejauh mana sikap patriotisme kita sebagai warganegara Malaysia.

*Bersikap Kekitaan
            Dalam kehidupan seharian, sama ada dengan jiran dan masyarakat, kita hendaklah mengamalkan sikap kekitaan. Kita hendaklah menunjukkan keikhlasan kita dalam menjalin hubungan dengan jiran dan anggota masyarakat yang berbeza warna kulit, kebudayaan dan agama. Dengan mengamalkan sikap kekitaan sesama kita, kita sebenarnya mewujudkan satu suasana hidup yang baik dan boleh menguntungkan kita semua di samping dapat memelihara soal keselamatan hidup setempat. Kesediaan kita mengamalkan sikap kekitaan ini akan menjadi contoh yang baik kepada generasi muda hari ini dan mereka juga akan terdorong untuk mengamalkannya. Hal ini tentunya akan dapat menjalin semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat di negara ini. Lama kelamaan benteng prasangka dan prejudis yang bersarang di dada kita tentunya dapat dirobohkan.
* Sikap Berdisiplin
            Sikap berdisiplin turut penting dalam menunjukkan penerimaan kita terhadap kaum lain. Pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang negara, menunjukkan kita bersedia bersikap adil terhadap kaum lain dan menghormati amalan dan kepercayaan mereka serta hak mereka untuk hidup di negara ini.
Sikap berdisiplin juga menunjukkan bahawa kita mahukan yang terbaik untuk kaum lain sebagaimana kita mahukan yang terbaik untuk diri kita. Hal ini akan mendorong kita untuk lebih  bersikap bertolak ansur dan cuba memahami hak kaum lain. Kita tidak akan memperjuangkan hak untuk kaum kita semata-mata dengan menindas atau membelakangkan hak yang sepatutnya turut diterima oleh kaum lain. Kita juga akan sentiasa bersedia untuk berkongsi dalam sesuatu perkara yang dibenarkan oleh budaya kita tanpa mengorbankan prinsip undang-undang dan keadilan.

*Bersikap Produktif
            Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan kemakmuran, kita hendaklah berusaha dengan rajin dan sentiasa bersikap produktif. Sikap produktif hendaklah ditunjukkan oleh semua kaum dan tidak hanya dikaitkan dengan satu-satu kaum tertentu sahaja. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah berusaha untuk membuat yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa mengira siapa majikan kita dan dengan siapa kita bekerja, kita hendaklah bekerja dengan gigih dan mengenepikan sikap buruk dan prejudis. Dengan itu, kita akan dapat menyumbang kepada produktiviti negara dan memberikan kesan yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara kita.

Kesimpulan
            Membina sebuah negara bangsa yang sempurna bukanlah tugas mudah apatah lagi bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dengan kepelbagaian kaum serta etnik dari latar sejarah, bahasa dan budaya yang berbeza serta diperkukuhkan pula oleh sentimen warisan berbeza menyumbang kepada munculnya persoalan dan masalah yang kompleks. Ibarat sebuah resepi masakan, negara bangsa bukanlah sekadar pelengkap rasa tetapi merupakan bahan utama bagi menghasilkan satu masakan yang bukan sekadar enak dan lazat malah menyihatkan.

Di sebalik kesukaran dan pelbagai alasan yang memungkinkan kegagalan mencapainya ia sebenarnya sesuatu yang tidak mustahil untuk dikecapi. Melalui pengalaman sejarah yang disalurkan secara sistematik khususnya melalui sektor pendidikan, impian untuk membentuk negara bangsa yang selama ini kita impikan akan menjadi kenyataan. Sesungguhnya, sejarah dan pendidikan mampu menjadi alat bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.
           
                                   






2 comments:

  1. apakah hasrat yang perlu diperjuangkan jka dipilih menjadi pemimpin parti politik ?

    ReplyDelete
  2. huraikan tujuan pembinaan negara dan bangsa

    ReplyDelete